Friday, December 28, 2012

1 Ramai Yang Tidak Subur

HASIL daripada kajian terbaru yang dijalankan ke atas 1,000 wanita di 10 negara Asia termasuk Malaysia, mendedahkan tentang ceteknya pengetahuan mengenai kesuburan yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan.

Kajian yang dinamakan Starting Families Asia itu dilakukan oleh Merck Serono, sebuah syarikat farmasutikal antarabangsa berpangkalan di Darmstadt, Jerman, dengan kerjasama Bahagian Kesuburan dan Endokrinologi Reproduktif di Pusat Wanita, Hospital Universiti Kebangsaan (NUH), Singapura.

Kajian yang merupakan terbesar di Asia itu telah disahkan oleh Asia Pacific on Reproduction (ASPIRE) dan dijalankan di antara tahun 2011 hingga 2012. Ia bagi membolehkan pengamal perubatan dan pembuat polisi di negara-negara yang terlibat dalam kajian itu dibantu bagi memulakan keluarga.

Selain itu, masalah-masalah yang dikenal pasti dapat ditangani bagi membantu wanita mendapat peluang untuk hamil termasuk meningkatkan pengetahuan kesuburan, mengatasi masalah kesuburan dan salah tanggapan mengenai rawatan kesuburan.

Bercakap mengenai kajian tersebut, Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi berkata, hasil kajian mendapati wanita dan pasangan perlu mendapatkan bantuan apabila merancang untuk memulakan keluarga, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah untuk hamil.

Kajian itu juga kata beliau, menyebut bahawa lebih banyak pendidikan umum dan kepekaan daripada segi umur dan masalah perubatan memberi kesan pada kesuburan juga pilihan rawatan, boleh diperoleh kepada mereka yang menderita masalah kesuburan.

Beliau yang juga pakar perunding kanan O & G serta pakar kesuburan, ditemui pada sidang akhbar mengenai kurangnya pengetahuan mengenai kesuburan di kalangan wanita Malaysia di sini baru-baru ini.

Dr. Zainul Rashid berkata, Starting Families Asia turut mendedahkan sebanyak 43 peratus wanita yang terlibat dalam kajian tersebut memahami bahawa pasangan itu dianggap tidak subur jika gagal hamil selepas setahun mencuba.

 ''Sementara sebanyak 36 peratus lagi mendapati wanita yang berusia 40-an mempunyai peluang yang rendah untuk hamil daripada yang berusia 30-an. ''Juga 32 peratus lagi mendapati gaya hidup yang sihat tidak semestinya menjanjikan kehamilan.

Ini bermakna mereka tidak mendapatkan bantuan atau rawatan yang boleh membantu peluang mereka untuk hamil terutama bagi wanita yang berumur lebih 35 tahun.

''Ramai wanita percaya takdir turut berperanan dalam masalah kesuburan. Di Malaysia, 71 peratus wanita percaya ketidaksuburan adalah takdir Tuhan manakala 42 peratus lagi menganggap mereka tidak bernasib baik,'' ujar beliau.

Beliau menambah, juga terdapat cetek pengetahuan mengenai isu kesuburan lelaki. Sebanyak 51 peratus wanita tidak mengetahui bahawa lelaki mungkin tidak subur walaupun mereka boleh berereksi dan 49 peratus lagi tidak menyedari bahawa seseorang lelaki mungkin tidak subur walaupun mereka boleh mengeluarkan sperma.

Ujar Dr. Zainul Rashid, walaupun kepekaan mengenai pilihan rawatan kesuburan adalah tinggi, namun, kira-kira 30 peratus daripada wanita yang terlibat dalam kajian tersebut tidak begitu bersungguh-sungguh mahu mendapatkan bantuan profesional walaupun mereka mengsyaki mempunyai masalah kesuburan.

 ''Di Malaysia, 52 peratus wanita yang terlibat dalam kajian itu yang mencuba untuk hamil dalam tempoh lebih enam bulan tidak mengetahui lokasi pusat kesuburan berhampiran.

 ''Satu-satunya halangan yang menyebabkan wanita tidak mendapatkan rawatan kesuburan ialah kos yang tinggi. ''Bagi wanita yang mendapatkan bantuan profesional, mereka turut mendapat nasihat daripada profesional perubatan dan menjalani ujian-ujian diagnostik selain terapi alternatif," katanya.

Beliau menambah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beberapa negara di Asia seperti China, Jepun, Korea Utara, Singapura, Thailand dan Vietnam telah mencecah paras di bawah tahap kesuburan.

Ujar beliau, empat daripada negara yang mempunyai taraf ekonomi yang tinggi, iaitu Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan adalah di antara negara yang mempunyai kadar kelahiran yang rendah di dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Merck Malaysia Berhad, Alex Chua yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, kadar kelahiran bayi di negara ini menurun kepada 2.2 peratus pada tahun 2008 daripada 2.6 peratus pada tahun 2000.

 ''Oleh kerana Malaysia akan menuju ke arah bangsa yang membangun pada tahun 2020, penurunan ini agak membimbangkan kerana akan mengurangkan jumlah generasi muda sebaik sahaja negara ini menjadi negara membangun.

 ''Walau bagaimanapun bukan Malaysia sahaja yang menghadapi isu penurunan kadar kelahiran. Namun, Malaysia merupakan contoh utama bagi trend yang melanda Asia ini. '

'Dengan kadar kesuburan yang terendah di dunia, penurunan kadar kelahiran di Asia menjadi kebimbangan sosial dan ekonomi bagi hampir semua bangsa dan kerajaan.

''Inilah sebabnya mengapa Merck Serono percaya adalah penting bagi pihaknya membantu pasangan suami isteri bagi memulakan keluarga,'' jelasnya.

Oleh MERAN ABU BAKAR  

Sumber: Utusan

1 comments:

  1. kena kerap update knowledge pasal ni

    ReplyDelete

 

Blog Informasi Kesihatan Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates