Friday, December 28, 2012

1 Kanser Payu Dara Lelaki

"Cara pengesanan, diagnosis serta rawatannya memang sama dengan kanser payudara wanita. Di Malaysia, kes kanser payu dara lelaki memang tidak begitu tinggi berbanding wanita dengan satu peratus saja kes dicatatkan.
 "Namun begitu tidak bermakna lelaki harus mengabaikan segala perubahan yang terjadi di bahagian payu dara mereka kerana sikap tersebut boleh menyebabkan mereka yang sendiri menanggung penderitaannya," ujar pakar onkologi dari Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. John Low.

Walaupun peratusan kes kanser payu dara lelaki amat sedikit berbanding wanita tetapi menurut Dr. John, jumlah penghidapnya meningkat dari tahun ke tahun.

"Kalau wanita kanser payu dara menjadi pembunuh nombor satu tetapi bagi lelaki tahapnya belum sampai begitu jadi kesedaran di kalangan mereka amat rendah.

"Lelaki selalunya kalau ada bengkak atau kelainan pada payu dara memang tidak akan terfikir tentang kanser. Tapi mereka tidak tahu jika kelainan tersebut tidak dikesan lebih awal maka ia boleh merebak dengan lebih cepat.

"Kerap berlaku apabila kanser dikesan ia sudah berada di tahap yang agak lewat dan sukar untuk dirawat menyebabkan peratus untuk sembuh menurun," katanya.

Menurut Dr. Low, penyakit ini juga ada kaitan dengan gen atau keturunan iaitu jika lelaki tersebut mempunyai ibu atau saudara mara wanita yang menghidap kanser payu dara maka risiko untuk dia menghidap kanser yang sama tetap ada.

"Ia juga berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai sindrom Klinfelter yang mana lelaki normal mempunyai kromosom XY tapi bagi lelaki yang mempunyai sindrom ini mereka mempunyai kromosom XXY dan mendedahkan mereka dengan penyakit kanser payu dara.

"Salah satu ciri yang ada pada penghidap sindrom ini adalah testisnya kecil dan banyak hormon wanita di dalam tubuhnya.

"Namun perlu saya ingat di sini bahawa kes sebegini sangat jarang berlaku," katanya.
Tambah Dr. Low, lelaki yang mengalami sirosis hati juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser payu dara.

Dalam pada itu, kanser payu dara lelaki ini boleh merebak ke organ-organ lain seperti ke kelenjar limfa, ketiak atau sehingga ke paru-paru dan tulang.

Dr. John berkata antara faktor risiko lain ialah pengambilan makanan yang berlemak tinggi, kerap makan daging merah dan makanan segera serta berminyak.

Dari segi prosedur diagnosis dan rawatan pula, ia tidak jauh berbeza dengan kanser payu dara wanita.
"Lelaki yang ada bengkak di payu dara juga akan dikehendaki menjalani ujian mamogram, ultra bunyi dan biopsi.
"Prosedur tersebut bagi mengesan kehadiran sel-sel kanser kerana mungkin juga kelainan yang dilihat pada payu dara tersebut disebabkan jangkitan kuman dan tidak semestinya kanser.

"Bagaimanapun bagi kes di mana kanser payu dara telah merebak ke limfa dan paru-paru, pembedahan segera perlu dijalankan.

"Pembedahan tersebut dinamakan mastektomi dan kami akan mengeluarkan nodus (nodes) limfa untuk mengetahui peringkatnya dan kemudian menentukan rawatan yang perlu diambil," katanya.

Menurut Dr. Low, ia akan diikuti dengan pengambilan ubat-ubatan hormon untuk mengurangkan hormon wanita yang ada dalam tubuh lelaki tersebut.

Bagi rawatan kimoterapi dan radioterapi pula bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut.
"Biasanya untuk lelaki, kami sarankan radioterapi supaya penyakit tersebut tidak berulang lagi.

"Penyakit ini kalau dikesan lebih awal memang boleh diubati malah pesakit mungkin tidak perlu melalui porses kimoterapi sebaliknya hanya ambil pil hormon selama lima tahun.

"Kesemua data yang digunakan untuk merawat kanser payu dara lelaki kami ambil daripada data kanser payu dara wanita.

"Cara rawatan kedua-duanya memang sangat serupa. Nasihat saya, lelaki patut sedar tentang penyakit ini terutama jika di kalangan ahli keluarga mereka ada yang menghidap kanser payu dara, jadi jika perlu pergilah menjalani ujian secara berkala," ujarnya mengakhiri bicara.

- NOOR FAZRINA KAMAL

Sumber: Utusan

1 comments:

 

Blog Informasi Kesihatan Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates