Thursday, December 27, 2012

0 Awas Bayi Selesema Seminggu

BATUK dan selesema adalah penyakit lumrah di kalangan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak pasti mengalami batuk dan selesema.


Malah, ibu bapa sering menerima komen seperti “biasalah budak-budak” apabila mengeluh mengenai anak mereka yang mengalami gejala ini. Bilakah batuk selesema dianggap biasa dan bilakah perlu dirisaukan?


Batuk dan selesema sering disebabkan jangkitan virus. Ini mudah berlaku kerana daya ketahanan kanak-kanak tidak sekuat orang dewasa, terutama bayi.

Insiden batuk dan selesema juga lebih kerap berlaku jika anak dihantar ke tadika atau rumah pengasuh, di mana anak terdedah kepada ramai kanak-kanak lain.

Begitu juga anak yang mempunyai abang atau kakak yang bersekolah, di mana si kecil akan kerap dijangkiti kuman yang dibawa pulang oleh abang atau kakak daripada sekolah.

Bagaimanapun, berlaku juga kes batuk dan selesema berlarutan hingga berminggu-minggu atau menjadi lebih teruk. Dalam kes sebegini, rawatan perlu ditingkatkan dan punca batuk dan selesema perlu dikenal pasti.

Batuk dan selesema yang sering dijangkiti kanak-kanak biasanya tidak melarat hingga lebih seminggu. Pada peringkat awal, kanak-kanak mungkin demam sedikit tapi ia akan berkurangan dan batuk juga akan reda. Nafas biasanya tidak kencang dan kanak-kanak biasanya aktif seperti biasa.

Punca lain termasuk jangkitan paru-paru (pneumonia), alahan seperti allergic rhinitis (resdung) dan asma.

Tanda yang anak mungkin mengalami jangkitan paru-paru ialah:


  • demam (suhu tinggi)
  • nafas laju
  • dada berombak
  • apabila anak bernafas, ada lekuk di antara tulang rusuk
  • hidung mungkin kembang kuncup

    Pneumonia dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan doktor dan juga menerusi sinaran-X. Jika doktor mengesyaki anak menghidap pneumonia, antibiotik akan diberi bersama ubat demam. Jika ada bunyi berdehit, rawatan spesifik akan diberi.

    Kebanyakan kes pneumonia sembuh tanpa komplikasi. Bagaimanapun, ada beberapa kes dengan komplikasi seperti cecair atau nanah di dalam paru-paru berlaku.

    Dalam kes sebegini, pembedahan mungkin diperlukan untuk memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair atau nanah. Komplikasi sebegini lebih kerap berlaku dengan jangkitan kuman seperti pneumokokkus dan staphylokokkus.


    Alahan dan asma

    Batuk dan selesema mungkin disebabkan alahan yang juga boleh menyebabkan asma. Biasanya punca gejala dalam kes sebegini ialah habuk, asap terutama asap rokok, debunga dan bulu haiwan seperti kucing, arnab dan anjing.

    Julat gejala apabila terdedah kepada alergen (bahan yang menyebabkan alahan) agak luas, daripada bersin setiap pagi (sering dikenali sebagai resdung) kepada berdehit. Di samping itu, mungkin juga ada tanda lain seperti ekzema pada kulit.


    Allergic rhinitis

    Kanak-kanak yang mengalami masalah ini sering selesema pada waktu pagi dan ‘sembuh’ apabila tengah hari. Mereka menjadi sihat dan aktif seperti biasa. Kadangkala hidung berasa tersumbat dan apabila diperiksa, didapati sama ada banyak hingus di dalam rongga hidung atau tisu dikenali sebagai ‘inferior turbinate’ bengkak.

    Rawatan untuk allergic rhinitis ialah menggunakan semburan hidung untuk membersihkan rongga hidung serta semburan mengandungi ubat untuk mengurangkan bengkak pada ‘inferior turbinate’. Di samping itu, ubat ‘antihistamine’ juga mungkin diberikan. Adalah penting untuk mengenal pasti dan mengelak punca alahan.

    Secara amnya, punca alahan membabitkan:
  • asap, terutama asap rokok
  • habuk, termasuk yang terperangkap pada mainan berbulu dan permaidani
  • bulu haiwan peliharaan
  • debunga
  • wangian

    Asma

    Asma ialah tindak balas paru-paru terhadap alahan iaitu saluran pernafasan (bronkus) menjadi sempit akibat pendedahan kepada alahan.

    Ini menyebabkan pesakit mengalami batuk serta kesukaran bernafas. Tidak semua kanak-kanak yang mempunyai asma mengalami berdehit.

    Tanda asma termasuk:
  • batuk pada waktu malam dan awal pagi
  • batuk atau berdehit selepas bermain
  • nafas laju dan dada berombak
  • lekuk di antara tulang rusuk dan di leher ketika bernafas
  • kedengaran bunyi nada tinggi ketika bernafas. Ini dikenali sebagai berdehit


    Jika anak mengalami serangan asma, doktor akan memberi ubat dalam bentuk nebuliser di klinik. Ini akan disusuli dengan ubat sama dalam bentuk ‘inhaler’ atau ubat air.

    Rawatan pencegah dalam bentuk inhaler diberi kepada kanak-kanak yang mengalami batuk malam lebih tiga malam seminggu, yang mengalami serangan asma kerap atau serius.

    Ubat ini perlu digunakan setiap hari walaupun anak sihat untuk mengelak terkena serangan. Di samping menggunakan ubat, doktor akan menasihati supaya menghindari punca alahan.

    Alahan dan asma ialah masalah keturunan. Oleh itu, jika ibu bapa mengalami masalah ini, kemungkinan besar anak juga mengalami masalah sama. Ia tidak boleh disembuhkan.

    Tujuan rawatan ialah menghindari serangan supaya anak aktif seperti biasa dan dapat mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah.

    Biasanya kekerapan serangan berkurangan apabila kanak-kanak membesar. Bagaimanapun, perlu diingatkan, serangan asma boleh menjadi serius dan dalam kes tertentu, boleh membawa maut. Oleh itu, pemantauan rapi dan penggunaan ubat dengan betul adalah penting.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/25

    Sumber : Harian Metro
  • 0 comments:

    Post a Comment

     

    Blog Informasi Kesihatan Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates