Friday, December 28, 2012

1 Khas Untuk Lelaki: Jaga Kesihatan Prostat Anda!

KUALA LUMPUR: "Isteri boleh meleteri suami sehingga sampai di klinik doktor untuk memastikan suami menjalani ujian prostat spesifik antigen (PSA)," kata Dr Amit Bahl, Pengarah Klinikal di Pusat Hematologi and Onkologi Bristol, UK, secara berseloroh.

Pakar perunding klinikal onkologi ini yang berada di sini baru-baru ini berkata demikian merujuk kepada kanser prostat, kanser ketiga paling lazim di kalangan lelaki di seluruh dunia dan kanser keempat paling lazim di kalangan lelaki di Malaysia.

Kanser ini membabitkan kelanjar prostat, yang terdapat di belakang pundi kencing. Jika kanser ini merebak lebih jauh, ia dikenali sebagai kanser prostat metastatik; di mana kanser itu merebak daripada prostat ke nodus limfa atau bahagian lain tubuh, khasnya ke tulang.

Bagaimanapun, terdapat rawatan bagi hampir semua jenis kanser metastatik dengan matlamat utama adalah mengawal kanser daripada merebak dan untuk melegakan simptom-simptom yang mengiringnya.

Paling Biasa

"Sehingga 29,000 kes dilaporkan di Asia Tenggara pada 2008. Kami mendapati kesedaran terhadap saringan PSA masih kurang di bahagian Asia ini termasuk hakikat yang lelaki Asia berasa malu untuk menceritakan masalah prostat mereka.

"Kaum lelaki seharusnya sedia bertemu dengan pakar perubatan mereka untuk mengetahui lanjut akan ujian PSA ini," jelas Dr Bahl kepada sekumpulan wartawan tempatan.

Di Malaysia, 40.6 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat I dan II.Ditanya akan apa yang boleh dilakukan oleh kaum lelaki untuk menjauhi kanser prostat, Dr Bahl menjelaskan; "Apa sahaja yang baik bagi jantung pasti baik untuk prostat anda. Dan ini termasuk senaman dan kurangkan pengambilan daging merah."

Sarigan PSA 

Saringan PSA adalah 95 peratus tepat dalam mengesan kanser. Ia khasnya disyorkan bagi mereka yang mengalami simptom penyakit itu. Juga ujian berulang disyorkan bagi mereka yang tidak menunjukkan simptom sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun.

Bagaimanapun, mereka dengan simptom tetapi tidak didiagnosis sebagai kanser prostat harus menjalani diagnosis ini setiap tahun.

"Kaum lelaki harus menjalani saringan PSA seusia 50 tahun. Pada satu masa dahulu mereka hanya perlu menjalani saringan ini apabila berada dalam lingkungan usia 68 hingga 70 tahun, tetapi sekarang ini lelaki seawal 40 tahun menghadapi risiko lebih tinggi untuk mengalami kanser prostat," jelas Dr Bahl, yang kini adalah seorang daripada anggota Kumpulan Kajian Klinikal Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan bagi kanser prostat dan pundi kencing.

"Menjelang 2030, dijangkakan bilangan kes kanser prostat akan berganda kepada 1.7 juta orang," kata Dr Bahl lagi.Apa yang menyedihkan adalah 10 hingga 20 peratus daripada pesakit didiagnos selepas kanser ini merebak.

Menurut Agensi Dalaman bagi Penyelidikan Terhadap Kanser, kadar kejadian kanser prostat adalah tertinggi di Australia, New Zealand, Eropah Barat dan Utara, dan Amerika Utara. Statistik juga menunjukkan kaum lelaki Asia mendaftarkan kadar kejadian yang lebih rendah.

Bagaimanapun, peningkatan dalam saringan PSA juga membawa kepada penemuan lebih banyak kes kanser prostat.

Rawatan

Terdapat rawatan berlainan bagi kanser prostat metastatik termasuk terapi hormon, imunoterapi, dan kemoterapi serta terapi sinaran.

Terapi hormon mencegah hormon semulajadi tubuh daripada membantu pertumbuhan sel kanser prostat sementara kaedah rawatan imunoterapi bagi kanser prostat metastatik membantu meningkat dan mengembalikan kemampuan sistem imun untuk melawan kanser.

Rawatan kemoterapi bagi penyakit kanser prostat metastatik menggunakan ubat-ubatan untuk menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser sama ada dengan membunuh sel-sel terbabit atau menghalang mereka daripada membiak.

Di sebaliknya terapi sinaran menggunakan sinaran berkuasa tinggi untuk membunuh sel-sel barah, membabitkan sel-sel yang berkenaan sahaja.

Juga menjalani Pemeriksaan Dubur Digital (DRE) dan saringan PSA awal akan membantu mencegah diagnosis lewat kanser prostat. "Ramai pesakit warga emas yang menghidap kanser prostat memilih untuk tunggu dan lihat selepas didiagnosis dengan penyakit itu. Mereka tidak mempertimbangkan pilihan rawatan radikal memandangkan mereka mungkin mengalami komplikasi lain walaupun keadaan kesihatan mereka meruncing," tambah perunding klinikal onkologi ini.

Adalah lebih baik untuk mengetahui status kesihatan seseorang melalui ujian dan saringan ini seawal yang mungkin daripada terus berada dalam ketakutan dan mendapat tahu terlalu lewat yang dirinya menghidap kanser prostat.

Kesedaran

Bulan November diisytiharkan sebagai bulan untuk mengutip dana dan bulan kesedaran terhadap kesihatan kaum lelaki; khususnya bagi kanser prostat dan kanser lain yang berkaitan dengan lelaki.

Kempen kesedaran ini yang dimulakan di Melbourne, Australia, sebagai tanda kesedaran menggalakkan kaum lelaki dari seluruh dunia untuk menyimpan misai pada bulan itu melalui galakan daripada pasangan mereka.

Kempen-kempen kesedaran rasmi seperti ini antara lain popular di UK, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Belgium.-BERNAMA

1 comments:

 

Blog Informasi Kesihatan Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates