Friday, December 28, 2012

1 Ramai Yang Tidak Subur

HASIL daripada kajian terbaru yang dijalankan ke atas 1,000 wanita di 10 negara Asia termasuk Malaysia, mendedahkan tentang ceteknya pengetahuan mengenai kesuburan yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan.

Kajian yang dinamakan Starting Families Asia itu dilakukan oleh Merck Serono, sebuah syarikat farmasutikal antarabangsa berpangkalan di Darmstadt, Jerman, dengan kerjasama Bahagian Kesuburan dan Endokrinologi Reproduktif di Pusat Wanita, Hospital Universiti Kebangsaan (NUH), Singapura.

Kajian yang merupakan terbesar di Asia itu telah disahkan oleh Asia Pacific on Reproduction (ASPIRE) dan dijalankan di antara tahun 2011 hingga 2012. Ia bagi membolehkan pengamal perubatan dan pembuat polisi di negara-negara yang terlibat dalam kajian itu dibantu bagi memulakan keluarga.

Selain itu, masalah-masalah yang dikenal pasti dapat ditangani bagi membantu wanita mendapat peluang untuk hamil termasuk meningkatkan pengetahuan kesuburan, mengatasi masalah kesuburan dan salah tanggapan mengenai rawatan kesuburan.

Bercakap mengenai kajian tersebut, Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi berkata, hasil kajian mendapati wanita dan pasangan perlu mendapatkan bantuan apabila merancang untuk memulakan keluarga, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah untuk hamil.

Kajian itu juga kata beliau, menyebut bahawa lebih banyak pendidikan umum dan kepekaan daripada segi umur dan masalah perubatan memberi kesan pada kesuburan juga pilihan rawatan, boleh diperoleh kepada mereka yang menderita masalah kesuburan.

Beliau yang juga pakar perunding kanan O & G serta pakar kesuburan, ditemui pada sidang akhbar mengenai kurangnya pengetahuan mengenai kesuburan di kalangan wanita Malaysia di sini baru-baru ini.

Dr. Zainul Rashid berkata, Starting Families Asia turut mendedahkan sebanyak 43 peratus wanita yang terlibat dalam kajian tersebut memahami bahawa pasangan itu dianggap tidak subur jika gagal hamil selepas setahun mencuba.

 ''Sementara sebanyak 36 peratus lagi mendapati wanita yang berusia 40-an mempunyai peluang yang rendah untuk hamil daripada yang berusia 30-an. ''Juga 32 peratus lagi mendapati gaya hidup yang sihat tidak semestinya menjanjikan kehamilan.

Ini bermakna mereka tidak mendapatkan bantuan atau rawatan yang boleh membantu peluang mereka untuk hamil terutama bagi wanita yang berumur lebih 35 tahun.

''Ramai wanita percaya takdir turut berperanan dalam masalah kesuburan. Di Malaysia, 71 peratus wanita percaya ketidaksuburan adalah takdir Tuhan manakala 42 peratus lagi menganggap mereka tidak bernasib baik,'' ujar beliau.

Beliau menambah, juga terdapat cetek pengetahuan mengenai isu kesuburan lelaki. Sebanyak 51 peratus wanita tidak mengetahui bahawa lelaki mungkin tidak subur walaupun mereka boleh berereksi dan 49 peratus lagi tidak menyedari bahawa seseorang lelaki mungkin tidak subur walaupun mereka boleh mengeluarkan sperma.

Ujar Dr. Zainul Rashid, walaupun kepekaan mengenai pilihan rawatan kesuburan adalah tinggi, namun, kira-kira 30 peratus daripada wanita yang terlibat dalam kajian tersebut tidak begitu bersungguh-sungguh mahu mendapatkan bantuan profesional walaupun mereka mengsyaki mempunyai masalah kesuburan.

 ''Di Malaysia, 52 peratus wanita yang terlibat dalam kajian itu yang mencuba untuk hamil dalam tempoh lebih enam bulan tidak mengetahui lokasi pusat kesuburan berhampiran.

 ''Satu-satunya halangan yang menyebabkan wanita tidak mendapatkan rawatan kesuburan ialah kos yang tinggi. ''Bagi wanita yang mendapatkan bantuan profesional, mereka turut mendapat nasihat daripada profesional perubatan dan menjalani ujian-ujian diagnostik selain terapi alternatif," katanya.

Beliau menambah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beberapa negara di Asia seperti China, Jepun, Korea Utara, Singapura, Thailand dan Vietnam telah mencecah paras di bawah tahap kesuburan.

Ujar beliau, empat daripada negara yang mempunyai taraf ekonomi yang tinggi, iaitu Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan adalah di antara negara yang mempunyai kadar kelahiran yang rendah di dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Merck Malaysia Berhad, Alex Chua yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, kadar kelahiran bayi di negara ini menurun kepada 2.2 peratus pada tahun 2008 daripada 2.6 peratus pada tahun 2000.

 ''Oleh kerana Malaysia akan menuju ke arah bangsa yang membangun pada tahun 2020, penurunan ini agak membimbangkan kerana akan mengurangkan jumlah generasi muda sebaik sahaja negara ini menjadi negara membangun.

 ''Walau bagaimanapun bukan Malaysia sahaja yang menghadapi isu penurunan kadar kelahiran. Namun, Malaysia merupakan contoh utama bagi trend yang melanda Asia ini. '

'Dengan kadar kesuburan yang terendah di dunia, penurunan kadar kelahiran di Asia menjadi kebimbangan sosial dan ekonomi bagi hampir semua bangsa dan kerajaan.

''Inilah sebabnya mengapa Merck Serono percaya adalah penting bagi pihaknya membantu pasangan suami isteri bagi memulakan keluarga,'' jelasnya.

Oleh MERAN ABU BAKAR  

Sumber: Utusan

0 Melawan Kanser Payu Dara

SEDIH, takut dan malu. Perasaan ini pasti menyelubungi pesakit payu dara. Lebih-lebih lagi, hilangnya teman ketawa senda seperti dulu. Wanita pula semakin kurang keyakinan apabila kehilangan perhiasan diri itu. Mungkin itulah aset keindahan wanita. Kehilangannya akibat barah tetap memberikan kesan mendalam kepada wanita.
Justeru, MBF Cards (M) Sdn Bhd dengan Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur (PPPKL) telah mengadakan ceramah kanser payu dara dan rahim Julai lalu. Dalam pada itu, meneruskan Kempen Kesihatan Merah Jambu, kedua-duanya menawarkan pakej kesihatan termasuk vaksin HPV, pemeriksaan payu dara dan pap smear bernilai RM 580 di PPPKL.

"Tidak dinafikan menangani barah amat perit, tetapi ia usaha yang munasabah. Bukan sahaja pesakit, keluarga dan rakan-rakan perlukan pengetahuan dan mengambil tindakan segera, berhubung kesan barah dan bagaimana cara terbaik mengatasinya. Ini penting untuk mengubah stigma masyarakat terhadap kanser ini," jelas Pakar Pembedahan Kanser Payu Dara PPPKL, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz.

Dr. Azlina menambah, pengetahuan tentang kanser ini perlu didedah kepada masyarakat pada peringkat usia remaja.

Katanya, ramai remaja yang kurang pendedahan kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan mereka yang berusia 40 ke atas.

"Pada tahun 2003 hingga 2005, sebanyak 11952 kes kanser payu dara telah dilaporkan. Di Asia seperti Malaysia, statistik mengikut umur amat berbeza dengan negara barat. Di sini, mereka dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an juga berisiko. Kebanyakan kes melibatkan mereka yang masih muda," tambahnya.
Buat wanita di luar sana, nasihat Azlina,

"Amalkan pemakanan yang seimbang dan pakai pakaian dalam seperti coli yang sesuai. Itu saja. Tidak kiralah ketika hamil, datang bulan dan sebagainya. Sama saja nasihatnya.

"Jika organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.

"Saya kenal orang yang sudah kehilangan payu dara dan trauma yang terpaksa dilalui amat perit. Kos rawatan untuk kemoterapinya juga sangat tinggi," ujarnya

Antara bintang Hollywood yang berjuang untuk melawan kanser payu dara.

l Kylie Minogue
Penyanyi yang bersuara seksi ini menerima berita dia menghadapi kanser pada tahun 2005. Setelah menjalani pembedahan dan kemoterapi selama lapan bulan, dia dikatakan bebas dari penyakit maut tersebut.

l Sheryl Crow
Dia disahkan menghidap kanser payu dara ketika memasuki usia 48 tahun. Dia telah mengambil dua orang anak lelaki sebagai anak angkat sebagai penawar duka sepanjang dia menjalani proses rawatan.

l Cynthia Nixon
Wanita yang popular dengan watak Miranda Hobbes dalam cerita 'Sex and the City' ini disahkan menghidap kanser payu dara pada 2006. Setelah dia menjalani pembedahan dan kemoterapi selama enam hingga lima bulan dia berjaya bebas dari penyakit maut tersebut.

l Christina Applegate
Pada Ogos 2008, melalui jurucakapnya , Christina Applegate mendedahkan kepada orang ramai bahawa dia tengah berjuang melawan kanser payu dara. Dia membuat pemeriksaan kesihatan awal kerana ibunya merupakan pesakit kanser payu dara dan rahim. Pemeriksaan yang dibuatnya membuatkan dia sembuh lebih awal.

l Suzanne Somers
Namanya meningkat naik ketika dia memegang watak dalam beberapa cerita komedi seperti 'Step by Step' dan 'Three's Company'. Dia menjadi perhatian ketika menerima laporan kanser payu ara sembilan tahun yang lalu.

Dia yang menjalani terapi holistik, akhirnya sembuh, dia juga sempat bercakap di acara 'Oprah Winfrey Show' mengenai kekuatan mental yang dapat menyembuhkan penyakitnya.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
 
Sumber: Utusan 

1 Kanser Payu Dara Lelaki

"Cara pengesanan, diagnosis serta rawatannya memang sama dengan kanser payudara wanita. Di Malaysia, kes kanser payu dara lelaki memang tidak begitu tinggi berbanding wanita dengan satu peratus saja kes dicatatkan.
 "Namun begitu tidak bermakna lelaki harus mengabaikan segala perubahan yang terjadi di bahagian payu dara mereka kerana sikap tersebut boleh menyebabkan mereka yang sendiri menanggung penderitaannya," ujar pakar onkologi dari Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. John Low.

Walaupun peratusan kes kanser payu dara lelaki amat sedikit berbanding wanita tetapi menurut Dr. John, jumlah penghidapnya meningkat dari tahun ke tahun.

"Kalau wanita kanser payu dara menjadi pembunuh nombor satu tetapi bagi lelaki tahapnya belum sampai begitu jadi kesedaran di kalangan mereka amat rendah.

"Lelaki selalunya kalau ada bengkak atau kelainan pada payu dara memang tidak akan terfikir tentang kanser. Tapi mereka tidak tahu jika kelainan tersebut tidak dikesan lebih awal maka ia boleh merebak dengan lebih cepat.

"Kerap berlaku apabila kanser dikesan ia sudah berada di tahap yang agak lewat dan sukar untuk dirawat menyebabkan peratus untuk sembuh menurun," katanya.

Menurut Dr. Low, penyakit ini juga ada kaitan dengan gen atau keturunan iaitu jika lelaki tersebut mempunyai ibu atau saudara mara wanita yang menghidap kanser payu dara maka risiko untuk dia menghidap kanser yang sama tetap ada.

"Ia juga berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai sindrom Klinfelter yang mana lelaki normal mempunyai kromosom XY tapi bagi lelaki yang mempunyai sindrom ini mereka mempunyai kromosom XXY dan mendedahkan mereka dengan penyakit kanser payu dara.

"Salah satu ciri yang ada pada penghidap sindrom ini adalah testisnya kecil dan banyak hormon wanita di dalam tubuhnya.

"Namun perlu saya ingat di sini bahawa kes sebegini sangat jarang berlaku," katanya.
Tambah Dr. Low, lelaki yang mengalami sirosis hati juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser payu dara.

Dalam pada itu, kanser payu dara lelaki ini boleh merebak ke organ-organ lain seperti ke kelenjar limfa, ketiak atau sehingga ke paru-paru dan tulang.

Dr. John berkata antara faktor risiko lain ialah pengambilan makanan yang berlemak tinggi, kerap makan daging merah dan makanan segera serta berminyak.

Dari segi prosedur diagnosis dan rawatan pula, ia tidak jauh berbeza dengan kanser payu dara wanita.
"Lelaki yang ada bengkak di payu dara juga akan dikehendaki menjalani ujian mamogram, ultra bunyi dan biopsi.
"Prosedur tersebut bagi mengesan kehadiran sel-sel kanser kerana mungkin juga kelainan yang dilihat pada payu dara tersebut disebabkan jangkitan kuman dan tidak semestinya kanser.

"Bagaimanapun bagi kes di mana kanser payu dara telah merebak ke limfa dan paru-paru, pembedahan segera perlu dijalankan.

"Pembedahan tersebut dinamakan mastektomi dan kami akan mengeluarkan nodus (nodes) limfa untuk mengetahui peringkatnya dan kemudian menentukan rawatan yang perlu diambil," katanya.

Menurut Dr. Low, ia akan diikuti dengan pengambilan ubat-ubatan hormon untuk mengurangkan hormon wanita yang ada dalam tubuh lelaki tersebut.

Bagi rawatan kimoterapi dan radioterapi pula bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut.
"Biasanya untuk lelaki, kami sarankan radioterapi supaya penyakit tersebut tidak berulang lagi.

"Penyakit ini kalau dikesan lebih awal memang boleh diubati malah pesakit mungkin tidak perlu melalui porses kimoterapi sebaliknya hanya ambil pil hormon selama lima tahun.

"Kesemua data yang digunakan untuk merawat kanser payu dara lelaki kami ambil daripada data kanser payu dara wanita.

"Cara rawatan kedua-duanya memang sangat serupa. Nasihat saya, lelaki patut sedar tentang penyakit ini terutama jika di kalangan ahli keluarga mereka ada yang menghidap kanser payu dara, jadi jika perlu pergilah menjalani ujian secara berkala," ujarnya mengakhiri bicara.

- NOOR FAZRINA KAMAL

Sumber: Utusan

1 Khas Untuk Lelaki: Jaga Kesihatan Prostat Anda!

KUALA LUMPUR: "Isteri boleh meleteri suami sehingga sampai di klinik doktor untuk memastikan suami menjalani ujian prostat spesifik antigen (PSA)," kata Dr Amit Bahl, Pengarah Klinikal di Pusat Hematologi and Onkologi Bristol, UK, secara berseloroh.

Pakar perunding klinikal onkologi ini yang berada di sini baru-baru ini berkata demikian merujuk kepada kanser prostat, kanser ketiga paling lazim di kalangan lelaki di seluruh dunia dan kanser keempat paling lazim di kalangan lelaki di Malaysia.

Kanser ini membabitkan kelanjar prostat, yang terdapat di belakang pundi kencing. Jika kanser ini merebak lebih jauh, ia dikenali sebagai kanser prostat metastatik; di mana kanser itu merebak daripada prostat ke nodus limfa atau bahagian lain tubuh, khasnya ke tulang.

Bagaimanapun, terdapat rawatan bagi hampir semua jenis kanser metastatik dengan matlamat utama adalah mengawal kanser daripada merebak dan untuk melegakan simptom-simptom yang mengiringnya.

Paling Biasa

"Sehingga 29,000 kes dilaporkan di Asia Tenggara pada 2008. Kami mendapati kesedaran terhadap saringan PSA masih kurang di bahagian Asia ini termasuk hakikat yang lelaki Asia berasa malu untuk menceritakan masalah prostat mereka.

"Kaum lelaki seharusnya sedia bertemu dengan pakar perubatan mereka untuk mengetahui lanjut akan ujian PSA ini," jelas Dr Bahl kepada sekumpulan wartawan tempatan.

Di Malaysia, 40.6 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat I dan II.Ditanya akan apa yang boleh dilakukan oleh kaum lelaki untuk menjauhi kanser prostat, Dr Bahl menjelaskan; "Apa sahaja yang baik bagi jantung pasti baik untuk prostat anda. Dan ini termasuk senaman dan kurangkan pengambilan daging merah."

Sarigan PSA 

Saringan PSA adalah 95 peratus tepat dalam mengesan kanser. Ia khasnya disyorkan bagi mereka yang mengalami simptom penyakit itu. Juga ujian berulang disyorkan bagi mereka yang tidak menunjukkan simptom sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun.

Bagaimanapun, mereka dengan simptom tetapi tidak didiagnosis sebagai kanser prostat harus menjalani diagnosis ini setiap tahun.

"Kaum lelaki harus menjalani saringan PSA seusia 50 tahun. Pada satu masa dahulu mereka hanya perlu menjalani saringan ini apabila berada dalam lingkungan usia 68 hingga 70 tahun, tetapi sekarang ini lelaki seawal 40 tahun menghadapi risiko lebih tinggi untuk mengalami kanser prostat," jelas Dr Bahl, yang kini adalah seorang daripada anggota Kumpulan Kajian Klinikal Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan bagi kanser prostat dan pundi kencing.

"Menjelang 2030, dijangkakan bilangan kes kanser prostat akan berganda kepada 1.7 juta orang," kata Dr Bahl lagi.Apa yang menyedihkan adalah 10 hingga 20 peratus daripada pesakit didiagnos selepas kanser ini merebak.

Menurut Agensi Dalaman bagi Penyelidikan Terhadap Kanser, kadar kejadian kanser prostat adalah tertinggi di Australia, New Zealand, Eropah Barat dan Utara, dan Amerika Utara. Statistik juga menunjukkan kaum lelaki Asia mendaftarkan kadar kejadian yang lebih rendah.

Bagaimanapun, peningkatan dalam saringan PSA juga membawa kepada penemuan lebih banyak kes kanser prostat.

Rawatan

Terdapat rawatan berlainan bagi kanser prostat metastatik termasuk terapi hormon, imunoterapi, dan kemoterapi serta terapi sinaran.

Terapi hormon mencegah hormon semulajadi tubuh daripada membantu pertumbuhan sel kanser prostat sementara kaedah rawatan imunoterapi bagi kanser prostat metastatik membantu meningkat dan mengembalikan kemampuan sistem imun untuk melawan kanser.

Rawatan kemoterapi bagi penyakit kanser prostat metastatik menggunakan ubat-ubatan untuk menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser sama ada dengan membunuh sel-sel terbabit atau menghalang mereka daripada membiak.

Di sebaliknya terapi sinaran menggunakan sinaran berkuasa tinggi untuk membunuh sel-sel barah, membabitkan sel-sel yang berkenaan sahaja.

Juga menjalani Pemeriksaan Dubur Digital (DRE) dan saringan PSA awal akan membantu mencegah diagnosis lewat kanser prostat. "Ramai pesakit warga emas yang menghidap kanser prostat memilih untuk tunggu dan lihat selepas didiagnosis dengan penyakit itu. Mereka tidak mempertimbangkan pilihan rawatan radikal memandangkan mereka mungkin mengalami komplikasi lain walaupun keadaan kesihatan mereka meruncing," tambah perunding klinikal onkologi ini.

Adalah lebih baik untuk mengetahui status kesihatan seseorang melalui ujian dan saringan ini seawal yang mungkin daripada terus berada dalam ketakutan dan mendapat tahu terlalu lewat yang dirinya menghidap kanser prostat.

Kesedaran

Bulan November diisytiharkan sebagai bulan untuk mengutip dana dan bulan kesedaran terhadap kesihatan kaum lelaki; khususnya bagi kanser prostat dan kanser lain yang berkaitan dengan lelaki.

Kempen kesedaran ini yang dimulakan di Melbourne, Australia, sebagai tanda kesedaran menggalakkan kaum lelaki dari seluruh dunia untuk menyimpan misai pada bulan itu melalui galakan daripada pasangan mereka.

Kempen-kempen kesedaran rasmi seperti ini antara lain popular di UK, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Belgium.-BERNAMA

1 Guna Facebook Cegah Kanser

BERAPA ramai antara kita berani bersuara sama ada menegur atau memarahi ahli keluarga, rakan, teman lelaki dan wanita mahupun orang asing yang merokok terutama jika ia dilakukan di depan mata?

Ya, memang ada yang berani namun jumlah mereka yang berdiam diri lebih ramai. Mungkin disebabkan malu, malas, takut dimarahi atau sudah serik menegur, kita bertindak mengambil keputusan untuk tidak bersuara lagi.

Kata-kata seperti ‘suka hati mereka, sudah sakit nanti tanggung sendiri’ dan ‘ala, mereka sudah besar, tahu fikir mana baik dan mana buruk’ selalu didengari apabila masalah untuk menegur si perokok tegar ini dibangkitkan.

Bagaimanapun, jangan sesekali berputus asa untuk terus menasihati mereka terutama anak muda agar menjauhi rokok mahupun perkara lain yang tidak sihat demi kesihatan diri.

Ini kerana, bahan di dalam rokok yang mengandungi tembakau itu adalah penyebab utama dan tertinggi kepada penyakit pembunuh di seluruh dunia iaitu kanser.

Justeru, berlandaskan sebab tanggungjawab dan menyayangi masyarakat, Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Courts Malaysia (Courts), melancarkan kempen mengenai bahaya dan pencegahan kanser secara inovatif melalui saluran laman sosial paling popular, facebook.

Pengarah Urusan NCSM, Rubi Ain Dahlan, berkata kempen yang dinamakan sebagai ‘I Choose’ atau ‘Saya Pilih’ ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia sama ada pelajar sekolah, kolej atau universiti terhadap penyakit ini yang boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.

 “Dengan kerjasama Courts, hari ini kami dapat melancarkan halaman facebook khas untuk golongan belia. Halaman ini istimewa kerana ia akan menjadi saluran utama bagi mereka berkongsi maklumat termasuk cara mengamalkan gaya hidup sihat daripada segi pengambilan bahan makanan, senaman dan seumpamanya sejak peringkat awal bagi menghindari kanser.

“Selain itu, dengan kewujudan halaman facebook ini, kami dapat memikat hati semua golongan belia apabila nada dan gaya bahasa yang digunakan bersesuaian serta digemari mereka. “Golongan belia sememangnya berkeupayaan untuk menyerap maklumat yang banyak.

Oleh itu, kami berharap dapat menyalurkan pelbagai maklumat penting ini kepada mereka menerusi saluran komunikasi yang paling disukai agar dapat membentuk diri mereka untuk membuat pilihan bijak dengan mengatakan tidak kepada kanser,” katanya.

Menurut Rubi Ain, kajian menunjukkan pencegahan kanser bermula dengan gaya hidup sihat dan lebih wajar serta berkesan lagi sekiranya amalan itu dimulakan dari usia muda.

Tidak sukar, antara petua menjaga kesihatan untuk menjauhi kanser atau penyakit kronik lain adalah dengan menggunakan krim pelindung sinaran matahari, meninggalkan tabiat merokok dan mengurangkan diri terdedah daripada asap rokok, memakan lebih banyak buah-buahan atau sayur-sayuran segar serta elak pengambilan makanan yang siap diproses.

Tambahnya, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada program Harapan Kami Untuk Kanak-Kanak iaitu satu usaha inisiatif berterusan anjuran NCSM dan Courts sejak 2010. “Keluarga sihat adalah asas kebahagiaan anggotanya.

Seiring dengan konsep perniagaan Courts yang mengutamakan rumah tangga, amat penting bagi kami untuk membabitkan diri dan menyumbangkan usaha dalam kegiatan yang dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat Malaysia,” kata Pengarah Negara Courts, Chris Yong.

Selain akan sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini mengenai cara mengurangkan risiko kanser, halaman ini juga memperkenalkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti koreografi tarian.

Menerusi medium sama, anda boleh menyaksikan sebuah video istimewa bertajuk Unlike Cigarettes yang mengandungi pandangan selebriti tempatan seperti Cheryl Samad, Jeremy Teo, Jojo Struys, Azura Zainal, Stephanie Chai, Julie Woon, Fuad, Will Quah dan Shawn Lee yang menggalakkan golongan belia untuk menghindari serta menghentikan tabiat merokok.

Satu lagi aktiviti yang boleh disertai oleh semua remaja warganegara Malaysia berusia 13 hingga 24 tahun ialah pertandingan membuat video.

Peserta hanya dikehendaki merakamkan diri mereka untuk berkongsi pendapat mengenai keburukan merokok dan menghantar rakaman video berkenaan sebelum 30 September 2012.

Lima peserta terbaik yang akan diadili oleh barisan panel bertauliah berpeluang memenangi hadiah menarik tajaan Courts seperti televisyen Samsung LED 32 inci, Apple iPod Shuffle 2G dan mesin pencetak foto Canon Selphy.

Untuk melihat dan mendapatkan maklumat berguna mengenai penyakit kanser ini, layari www.facebook.com/ichoosemalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/23 

Oleh Hamizah Badiran
Sumber: Harian Metro

0 Bahaya Kekurangan Zat Besi

RASA letih, tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah sering berlaku pada kebanyakan wanita mengandung hingga mereka terlepas pandang dan menganggap ia perkara normal sehingga ia tidak diberikan perhatian serius.
PENING...kesihatan ibu boleh terganggu jika kekurangan zat besi.
Mereka mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap semua itu adalah kesan akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya bagi seorang daripada tiga wanita, masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.

Memandangkan seorang daripada tiga wanita mengandung mengalami masalah kekurangan zat besi, keadaan itu lebih lazim berlaku daripada yang disangka.

Walaupun masalah kesihatan itu bukan normal, tetapi ia sering tidak diperiksa atau dirawat menyebabkan ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran, berkata ramai masih tidak tahu masalah kekurangan zat besi yang serius adalah merbahaya dan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi turut memberi kesan pada bayi yang dikandungnya.

Beliau berkata, wanita bukan saja perlu mengambil zat besi yang cukup semasa mengandung, tetapi ia juga penting sebelum proses mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin bertambah selepas melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan anak.

“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Oleh itu, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

“Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (12 hingga 15mg/dl) wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” katanya.

Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan berpunca daripada diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi mereka.

Katanya, dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi ketika hamil iaitu pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.

Antara wanita yang berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi selepas bersalin ialah:





  • Wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan besi semasa hamil
  • Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak
  • Wanita yang sudah beberapa kali melahirkan anak
  • Ibu yang menyusukan bayinya


    Bagaimana hendak mengetahui jika seseorang wanita itu mengalami anemia? Antara gejala anemia yang sering dilaporkan ialah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.

    Katanya, anemia ketika hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan komplikasi kehamilan yang serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, saiz bayi yang kecil, koma dan paling membimbangkan ialah kemungkinan ibu meninggal dunia.

    Anemia ketika hamil boleh dikesan dengan penentuan tahap hemoglobin dalam darah melalui ujian darah.

    Sebelum merancang untuk mengandung, wanita juga digalakkan berjumpa doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam darah namun malangnya, kebanyakan wanita hanya berjumpa doktor apabila sudah mengandung dan ketika ujian darah dijalankan, mereka sudah pun didapati mengalami anemia ringan.

    Wanita hamil yang mempunyai kepekatan darah lebih 11g/dl adalah normal manakala yang mencatat 9 hingga 11g/dl menunjukkan masalah anemia ringan, 7 hingga 8.9g/dl pula anemia sederhana dan bacaan kurang daripada 7.0 mengalami masalah anemia tahap teruk.

    Dalam keadaan lebih serius, rawatan perubatan diperlukan memandangkan kumpulan wanita hamil itu menghadapi risiko kelahiran bayi pramatang dan mendapatkan bayi dengan berat badan rendah ketika dilahirkan.

    Menurut Dr Premitha, tahap keterukan dan punca anemia menentukan terapi yang akan disyorkan oleh doktor, selain pesakit perlu membuat serba sedikit perubahan gaya hidup dan pemakanan.

    Bagi menambah bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat, semasa hamil dan menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

    “Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. Pilih rumusan besi yang boleh diterima oleh badan kerana ia penting untuk memulihkan kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan penyerapan zat besi, membantu wanita menangani anemia semasa hamil dan juga mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit.

    “Wanita yang menghadapi risiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

    Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu disyorkan mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan untuk mengurangkan kesan rencatan.

    Vitamin C tambahan disyorkan diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

    Kalsium tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat besi, contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada penyerapan zat besi.

    Menurut Dr Premitha, wanita perlu terus mengambil makanan kaya dengan zat besi dan pemakanan tambahan sehingga mereka berhenti menyusukan bayi atau selama enam bulan selepas melahirkan anak, yang mana lebih lewat.

    Katanya, dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, diberikan pemindahan darah atau suntikan zat besi.

    “Wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil dan empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

    “Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil jumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan yang membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

    “Mereka dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika terdapat simptom kekurangan zat besi,” katanya.


    Memahami anemia dan kehamilan

    Wanita hamil memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi.

    Golongan berisiko adalah wanita yang pernah disahkan menghidap anemia ketika kehamilan terdahulu, pernah mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak, wanita yang sudah melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang sedang menyusukan bayi.

    Gejala dan kesan anemia terhadap kehamilan

    Gejala anemia adalah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.
    Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma serta peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.


    Pengesanan

    Pemeriksaan di klinik atau hospital untuk menentukan tahap hemoglobin dalam badan melalui ujian darah.

    Sebelum merancang untuk mengandung, wanita digalakkan bertemu doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam badan mereka.

    Pencegahan dan rawatan Meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur daun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai dan labu, bijan dan tauhu.

    Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. 
  • Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/06

  • Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

     Sumber : Harian Metro

    Thursday, December 27, 2012

    0 Dua Kesan Bahaya Demam

    SEPANJANG membesar, kanak-kanak sering terdedah kepada masalah kesihatan yang biasa menyerang mereka, antaranya demam, selesema, kesakitan di bahagian abdomen dan cirit-birit.
    Menjadi perkara biasa sekiranya anak mengalami masalah kesihatan berkenaan kerana ia sebahagian daripada proses membesar, tetapi ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang cukup bagi berhadapan dengan situasi itu.

    Ini kerana, pengetahuan yang cukup mengenai penjagaan kesihatan anak-anak dapat menyelamatkan nyawa mereka selain membebaskan anak daripada kesakitan yang terlalu berat untuk ditanggung.

    Pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, yang mengulas mengenai tajuk ‘Jangkitan Biasa Anak-Anak dan Imunisasi’ dalam satu siri ceramah kesihatannya berkata, ibu bapa perlu faham apa yang berlaku pada kesihatan anak mereka.

    Misalnya, ibu bapa perlu tahu suhu badan kanak-kanak yang normal adalah antara 36.6 hingga 37.5 darjah Celsius. Sekiranya lebih daripada paras berkenaan, ia menandakan anak mereka mengalami demam.

    Katanya, suhu badan akan lebih rendah pada waktu pagi, tetapi meningkat pada penghujung hari selain memberi bacaan yang berbeza sekiranya suhu disukat pada telinga dan mulut dengan perbezaan 0.5 darjah Celsius.

    “Semua ibu bapa harus mempunyai termometer di rumah supaya dapat memeriksa suhu badan sekiranya anak kelihatan tidak sihat. Jika tanya pada saya, tidak perlu termometer yang mahal, tetapi alat yang murah pun sudah memadai.

    “Amat penting untuk mengesan demam kerana ia menjadi penanda simptom yang sedang berlaku dalam tubuh.

    “Bagi suhu badan pada bacaan 37.5 darjah Celsius, ia sudah menandakan demam dan suhu 38.5 darjah Celsius pula menunjukkan demam yang lebih kuat,” katanya.

    Bagi bayi pula, mana-mana demam boleh menjadi serius dan demam yang terlalu tinggi menyebabkan ketidakselesaan.

    Katanya, masyarakat sering terlepas pandang dua penyebab demam yang tinggi, iaitu ia boleh menyebabkan jangkitan di bahagian tengah telinga hingga boleh menyebabkan pekak dan jangkitan air kencing yang boleh merosakkan buah pinggang.

    Apabila anak diserang demam, apa yang boleh dilakukan ibu bapa adalah memberi anak minum air yang banyak dan buka baju supaya suhu panas tidak terperangkap dalam tubuh.

    Ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan span atau kain yang dibasahkan dengan air paip dan ditekap pada tubuh anak untuk menarik panas keluar dari badan.

    Kain yang ditekap pada badan perlu dibasahkan kembali sebaik ia mula panas dan proses diulang berkali-kali sehingga suhu badan anak menurun.

    Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan air sejuk atau ais kerana ia boleh menyebabkan anak menggigil dan apabila ia berlaku, badan akan bertindak balas dengan menaikkan lagi suhu yang sudah pasti membahayakan anak mereka.

    Katanya, ubat yang diberi pada anak ialah ubat yang diberi doktor diambil melalui mulut atau rektal dan dilarang sama sekali memberikan aspirin.

    Walaupun ibu bapa dinasihatkan supaya tenang berhadapan dengan demam anak-anak kerana dengan langkah yang betul demam dapat dikawal, tetapi ada beberapa situasi di mana anak perlu dibawa berjumpa doktor.

    Situasi itu sekiranya bayi berusia di bawah enam bulan, anak mengalami sawan, demam sudah berlarutan selama dua hari, jika demam ada kaitan dengan simptom lain, anak menjadi lemah dan tidak mahu makan atau minum, leher tegang, muntah dan menunjukkan sikap tidak keruan kerana kemungkinan ia ada kaitan dengan jangkitan meningitis.

    Beliau yang juga Pengerusi Program Pengasuhan Positif yang dimulakan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) berkata, selain demam, kanak-kanak juga sering mengalami selesema yang boleh disebabkan oleh 300 virus berlainan jenis.

    Selesema dikenal pasti menerusi bersin, mata berair, demam rendah, batuk, keletihan dan hidung berair. Simptom ini perlu dirawat yang mana ia akan pulih dalam masa kurang seminggu.

    “Perkara biasa bagi kanak-kanak untuk mengalami selesema sehingga sembilan kali dalam setahun terutama selepas memulakan persekolahan tadika atau dihantar ke nurseri.

    “Selain itu, kanak-kanak juga mudah terdedah kepada batuk dan batuk bersama hidung berair yang lazimnya berlaku apabila anak diserang selesema,” katanya.

    Beliau berkata, ibu bapa perlu mengenal pasti jenis batuk yang dialami anak mereka bagi mendapatkan rawatan bersesuaian seperti kepada bayi, batuk bersama hidung berair dan nafas pendek.

    Katanya, keadaan boleh menjadi serius sekiranya batuk yang berlaku berterusan apabila ia berkait rapat dengan bronchiolitis dan asma.

    “Pada masa sama, ada jenis batuk yang dinamakan nocturnal yang hanya berlaku pada malam hari dan ia dikaitkan dengan asma.

    “Batuk dengan bunyi berdesing dikaitkan dengan serangan asma manakala batuk berserta pernafasan yang bising dikenali sebagai ‘croup’ manakala batuk berserta demam dan nafas pendek dikaitkan dengan pneumonia.

    “Ada juga batuk yang datang secara tiba-tiba seperti selepas makan kacang dan ia menunjukkan alahan,” katanya.

    Bagi kes asma di kalangan kanak-kanak, Dr Zulkifli berkata, masalah itu menyerang kira-kira 20 peratus kanak-kanak yang berusia antara dua hingga tujuh tahun.

    Asma yang mempunyai kaitan dengan batuk berdesing pada malam hari menunjukkan berlaku jangkitan virus dan inhaler akan diberikan oleh doktor bagi melegakan kesukaran bernafas.

    “Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan mereka dalam menjaga kesihatan kanak-kanak supaya mereka tidak terdedah dengan elemen yang mampu mencetuskan masalah pernafasan ini antaranya tidak merokok di rumah, tidak memelihara haiwan dan elak meletakkan permaidani di rumah,” katanya.

    Beliau berkata, ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan membawa anak mereka bertemu doktor sekiranya anak mereka mengalami sakit abdomen kerana ia boleh menunjukkan satu keadaan yang sangat bahaya kepada kanak-kanak itu.

    Selain itu, menurut Dr Zulkifli, anak kecil juga sering mengalami cirit-birit iaitu pembuangan najis secara kerap dan terlalu cair yang menyebabkan risiko dehidrasi.

    “Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit akan kekurangan air dan ia boleh dilihat dari mulut mereka yang kering selain kurang air mata dan kulit kering.

    “Mereka perlu diberi air dalam jumlah sedikit, tetapi secara kerap dan meneruskan penyusuan susu ibu bagi bayi.

    “Cara untuk mengelak perkara itu daripada berlaku adalah menjaga kebersihan diri, persekitaran, sering mencuci tangan dan tidak membiarkan susu lebih satu jam selepas dibancuh,” katanya.

    Menurut Dr Zulkifli, imunisasi anak bermula daripada pemberian susu ibu kerana ia membekalkan nutrien secukupnya pada bayi, bersih, selamat, steril serta mempunyai antibodi yang melindungi tubuh.

    Penyusuan badan bersifat imunisasi pasif kepada bayi selain imunisasi aktif seperti suntikan yang diberi mengikut umur bersesuaian berdasarkan carta yang disediakan Kementerian Kesihatan.
    Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22
     

    Blog Informasi Kesihatan Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates